Putrajaya, 17 September 2025 (Rabu) – Persatuan Pegawai Kastam Marin Malaysia (PPKMM) telah mengadakan kunjung hormat ke atas Ybrs. Puan Siti binti Mang, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) di Bilik Mesyuarat Eksekutif Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya.

Kunjung hormat ini diketuai oleh Presiden PPKMM, Tn. Syed Muhammad bin Syed Salim. Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Presiden, En. Zulkifle bin Sulaiman bersama beberapa orang EXCO dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMKT) PPKMM.

Kunjungan hormat ini juga menjadi landasan penting bagi membincangkan isu-isu berkaitan cabaran tugas marin, keperluan memperkukuh keupayaan aset serta kebajikan pegawai dan anggota. PPKMM menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan tertinggi JKDM dalam memastikan peranan dan fungsi kastam marin dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, selaras dengan matlamat jabatan dalam menjaga keselamatan perairan negara serta mengekang sebarang bentuk penyeludupan.

PPKMM percaya melalui sokongan berterusan daripada pihak pengurusan JKDM, usaha-usaha memperkasa bidang penguatkuasaan marin akan dapat dipertingkatkan lagi. Persatuan juga berharap hubungan strategik ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada warga kastam marin, malah kepada keseluruhan organisasi JKDM dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negara.