PUTRAJAYA | 8 Jun 2026 – Persatuan Pegawai Kastam Marin Malaysia (PPKMM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato’ Haji Amran bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Kastam, bersama barisan Pengurusan Tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Delegasi PPKMM telah diketuai oleh Presiden PPKMM, Tuan Syed Muhamad bin Syed Salim, bersama barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMKT) PPKMM. Kunjungan ini bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PPKMM bagi sesi semasa, di samping berkongsi perkembangan dan perancangan aktiviti persatuan dalam usaha memperkukuhkan peranan PPKMM sebagai wadah yang menyokong pembangunan pegawai Kastam Marin.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pelbagai perkara telah dibincangkan, termasuk aspek kebajikan ahli, pembangunan profesional, peningkatan kompetensi pegawai marin serta hala tuju persatuan dalam mendukung aspirasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Turut dibincangkan ialah usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara PPKMM dan pengurusan tertinggi jabatan bagi memastikan kerjasama yang terjalin terus memberi manfaat kepada warga Kastam Marin dan organisasi secara keseluruhannya.
PPKMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Haji Amran bin Haji Ahmad serta barisan Pengurusan Tertinggi JKDM atas kesudian menerima kunjungan hormat ini. Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh profesionalisme ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan demi memperkasakan perkhidmatan Kastam Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
SUMBER FOTO : FB RASMI JKDM

Leave A Comment