Seberang Jaya, 17 Oktober 2025 – En. Mohd Zaki bin Mohd Kechil, Pegawai Kastam Kanan yang bertugas di Unit Marin, telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada hari Ahad, 12 Oktober 2025 kira-kira jam 7.30 pagi.
Kemalangan tersebut melibatkan pertembungan antara motosikal yang ditunggang oleh beliau dengan sebuah kereta jenis Perodua Kenari. Akibat insiden berkenaan, beliau telah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati beliau mengalami patah pada satu anak jari kaki kanan dan telah diberikan cuti sakit selama tiga (3) minggu oleh pihak hospital.
Sebagai tanda keprihatinan dan semangat kebersamaan warga Jabatan, pada hari ini, 17 Oktober 2025, Ketua Bahagian Penguatkuasaan (KBP) Tuan Maznan bin Harron, bersama-sama Penolong Kanan Pengarah Kastam I (PKPK I) En. Mohd Nizam bin Othman, Pegawai Memerintah Unit Marin Tuan Mohd Ihsan bin Mohd Zaberi, serta Pengerusi Persatuan Pegawai Kastam Malaysia (PPKMM) Negeri Pulau Pinang dan barisan Exco Negeri telah mengadakan lawatan ke kediaman En. Mohd Zaki.
Lawatan ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan dan kata-kata semangat kepada beliau sebagai tanda sokongan moral serta keprihatinan warga jabatan terhadap kebajikan anggota yang ditimpa musibah.
Pihak jabatan mendoakan agar En. Mohd Zaki segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti sedia kala. Semoga semangat setiakawan dan keprihatinan yang ditunjukkan ini terus menjadi budaya dalam kalangan warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia.



Leave A Comment