MELAKA, 14 Jun 2026 – Persatuan Pegawai Kastam Marin Malaysia (PPKMM) telah mengadakan Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bil. 3 Sesi 2024–2027 pada 13 hingga 14 Jun 2026 bertempat di Swiss-Garden Hotel Melaka. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Presiden PPKMM, Tuan Syed Muhammad bin Syed Salim dan dihadiri seramai 25 orang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMKT) dan Exco PPKMM bagi membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan pengoperasian, kebajikan serta pembangunan kompetensi warga Marin Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah isu penempatan dan pertukaran anggota marin ke unit darat yang dilihat memberi kesan terhadap kelancaran pengoperasian aset bot marin. Mesyuarat dimaklumkan bahawa Caw Operasi/Marin Khidmat Sokongan Ibu Pejabat (OMKS) telah menetapkan supaya sebarang pertukaran anggota marin hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak OMKS serta memastikan pengganti yang bersesuaian disediakan bagi mengekalkan kesiapsiagaan operasi. Selain itu, Jabatan turut merancang pelaksanaan kontrak penempatan terikat kepada pegawai yang menerima tajaan bagi memperoleh sijil kepakaran marin.

Dalam aspek kebajikan anggota, mesyuarat memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan suara warga marin melalui Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Antara cadangan yang dibincangkan ialah memanjangkan pemberian Elaun Kemahiran kepada pegawai gred WK3. Mesyuarat bersetuju supaya usul rasmi dikemukakan kepada OMKS dan hubungan kerjasama dengan MBJ di peringkat negeri serta pusat terus diperkukuhkan bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa diberi perhatian.

Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai perkembangan pemilikan aset marin apabila Ketua Pengarah Kastam telah memberikan persetujuan secara prinsip terhadap cadangan pembinaan kapal induk (Mothership) Bahtera 40 meter. Pada masa yang sama, Caw OMKS Ibu Pejabat sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menggantikan tujuh buah bot peronda yang telah uzur. Wakil-wakil negeri juga diminta mengenal pasti calon yang berpotensi untuk mengikuti latihan dan memperoleh sijil Master atau WKO sebagai persediaan mengendalikan aset-aset baharu pada masa hadapan.

Bagi memperkukuh kompetensi anggota marin, Ibu Pejabat turut memaklumkan bahawa peruntukan telah disediakan bagi pelaksanaan empat kursus asas kompetensi marin pada tahun 2026. Negeri-negeri yang mempunyai peruntukan digalakkan melaksanakan latihan di peringkat masing-masing dengan syarat peserta memiliki buku pelaut yang sah serta memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan.

Dalam pembentangan berkaitan pengurusan persatuan, mesyuarat dimaklumkan bahawa projek pengiklanan dan tajaan Majalah PEMACU ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada proses audit serta memastikan pematuhan terhadap pekeliling terkini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berhubung status pengecualian cukai penaja.

Mesyuarat diakhiri dengan komitmen bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi PPKMM untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pihak pengurusan JKDM dalam memperjuangkan kebajikan anggota marin, meningkatkan profesionalisme serta memperkasakan keupayaan operasi Marin JKDM demi memastikan organisasi terus relevan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran penguatkuasaan maritim negara.