BATU MAUNG, 11 Jun 2025 – Suasana penuh mesra dan nostalgia menyelubungi Majlis Keraian Bersama Persara yang telah dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Kastam Marin Malaysia, Pulau Pinang pada tengahari tadi. Majlis yang diadakan di restoran terkenal Pen Mutiara, Batu Maung, bermula tepat jam 12.00 tengahari dan turut dihadiri oleh Presiden PPKMM Tn Syed Muhammad bin Syed Salim, Timbalan Presiden En Zulkiflie bin Sulaiman, Pegawai Memerintah PMK Weld Quay Penang, Tn Mohd Ihsan bin Mohd Zaberi serta lebih 20 orang termasuk pegawai-pegawai marin PMK Weld Quay Penang yang masih berkhidmat.

 

Majlis ini bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan para pegawai yang telah menamatkan perkhidmatan mereka dalam Kastam Diraja Malaysia, khususnya dalam unit marin iaitu En Rusli bin Ahmad , En. Mohd Zaini bin Saad, En Wan Aziz bin Hamzah. Ia juga menjadi medan untuk mengeratkan kembali hubungan silaturrahim antara warga kerja lama dan baharu dalam suasana santai dan penuh kenangan.

 

Antara pengisian majlis termasuklah ucapan penghargaan daripada wakil persatuan, penyampaian cenderamata kepada para persara, sesi bergambar kenangan, dan jamuan makan tengahari yang menyelerakan. Tetamu-tetamu turut memanfaatkan peluang ini untuk berkongsi pengalaman serta mengenang kembali detik-detik manis sepanjang perkhidmatan.

 

Majlis ini jelas menunjukkan bahawa walaupun mereka telah bersara, jasa dan bakti para pegawai sentiasa dihargai dan dikenang oleh rakan seperjuangan serta generasi baharu dalam organisasi. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tanda penghormatan dan penghargaan yang tidak ternilai.

 

Tahniah diucapkan kepada Persatuan Pegawai Kastam Marin Malaysia, Pulau Pinang atas penganjuran yang berjaya dan bermakna ini.