Lumut, Perak | 4 Mac 2026 – Cawangan Penguatkuasaan JKDM Lumut, Perak telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Persaraan bagi meraikan Pegawai Kastam Marin PIKK 6861, En Azmi bin Mustafa dalam satu majlis penuh penghargaan dan suasana harmoni.

En Azmi bin Mustafa telah mula berkhidmat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 1 Julai 1997 dan menamatkan perkhidmatan beliau pada 8 Mac 2026, setelah hampir 29 tahun menabur bakti kepada jabatan dan negara. Sepanjang tempoh tersebut, beliau dikenali sebagai seorang pegawai yang komited, berdisiplin serta berdedikasi tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab, khususnya di Unit Marin

Majlis yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini turut menjadi platform untuk menghargai segala jasa dan pengorbanan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Cawangan Penguatkuasaan, Tn Muszaili bin Mustafar (PKPK II), Ketua Unit Marin, Tn Redwan bin Hassan (PPK), Ketua Unit Darat, Tn Nizam bin Zainal (PPK), Pengerusi PPKMM Negeri Perak, En Kamaruisah bin Md Yusof serta semua pegawai Unit Marin dan Unit Darat dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Lumut menjadikan jumlah keseluruhan kehadiran seramai 35 orang.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh mesra dan penuh kenangan. Pihak pengurusan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi, komitmen serta sumbangan En Azmi sepanjang menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Semoga segala jasa dan bakti beliau akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada pegawai-pegawai lain untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti dan profesionalisme. Pihak jabatan turut mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan dalam fasa kehidupan baharu selepas persaraan.